PENGORBANAN membawa erti yang pelbagai dan pengorbanan juga berlaku dalam pelbagai situasi.
Begitu jugalah dengan Jamil yang sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anaknya, Haikal berjaya ke menara gading.
Selepas kematian isteri ketika Haikal masih di dalam pantang, dia membesarkan Haikal sendirian dengan sebuah motosikal yang semakin buruk di mamah usia.
Haikal yang pada mulanya bangga menjadi pembonceng setia, semakin lama semakin malu dengan pengangkutan tetap ayahnya itu.
Malah semakin dewasa, dia mula lupa akan jasa motosikal itu kepadanya, dan berasa malu sekiranya Jamil menunggang motosikal tersebut.
Bagaimanapun kisah yang dipaparkan di dalam telefilem Kapcai Ayah ini bukan mengetengahkan kisah anak derhaka seperti kebiasaannya, tetapi sifat pelupa seorang anak terhadap pengorbanan ayahnya.
Telefilem arahan Heykal Hanifah dijayakan oleh Hasnul Rahmat, Marissa Yasmin, Syarul Ridzwan dan Hanna Aqeela, akan menemui penonton pada 29 Ogos ini, jam 8.30 malam menerusi slot Skrin di 9: Kapcai Ayah.
Menurut Heykal, cabaran utama dalam menyiapkan telefilem ini adalah mencari kelainan agar ia tidak nampak seperti sebuah kisah yang klise.
“Selalu bila bercakap mengenai pengorbanan, mesti akan dikaitkan dengan anak derhaka, yang lupa jasa ibu dan ayah.
“Tapi saya tak mahu ia sama, jadi saya cerita bagaimana seorang anak yang lupa dengan jasa ayahnya dan akhirnya disedarkan oleh isterinya yang selama difikirkan kisah dengan motor buruk ayahnya.
“Dan dalam masa sama, saya ketengahkan sikap seorang ayah yang degil yang lebih mementingkan sebuah motor daripada nasihat anaknya.
“Telefilem ini memberi banyak pengajaran, bukan sahaja kepada anak-anak, tetapi juga kepada golongan bapa, agar tidak selamanya berdiri dengan ego mereka,” katanya kepada Zass.
Menjalani penggambaran di sekitar Kajang, Semenyih dan Bukit Broga selama seminggu, ujar Heykal, dia bertuah kerana mendapat khidmat pelakon-pelakon berbakat besar yang bekerja bersamanya.
Katanya, pujian harus diberikan kepada Hasnul yang memberikan lakonan yang cukup mantap.
“Saya sangat puji Hasnul sebab dia kalau di beri watak orang muda pun dia berjaya bawa, beri watak orang tua pun dia boleh buat.
“Dalam telefilem ini, Hasnul berjaya membawakan watak sebagai orang tua dengan cukup baik, bukan sekadar cara bercakap seperti orang tua, bahkan gerak badannya seperti orang tua dan cara pembawaannya pun seperti orang tua.
“Manakala Syarul pula, dia memang pernah meminta peluang dari saya untuk membawakan watak yang berat dan saya beri dia peluang untuk mencuba,” katanya.
Tambah Heykal, apa yang diharapkan, penonton akan dapat menerima mesej yang cuba disampaikan dan dalam masa sama, golongan muda, khususnya yang masih bersekolah dapat melihat teladan yang cuba disampaikan di dalam telefilem ini.
“Sebenarnya saya buat telefilem ini untuk anak-anak saya juga. Walaupun orang sekarang tidak lagi keluar subuh pagi menoreh getah, tapi mereka masih keluar subuh mencari rezeki.
“Adakalanya sehingga pulang lewat malam. Semua yang ayah dan ibu lakukan adalah untuk mencari rezeki bagi anak-anak.
“Tetapi apabila mereka besar, ramai yang lupa jasa ibu dan ayah.
“Jadi dengan menonton telefilem ini, saya harap mereka faham dan boleh mengambil pengajaran dan lebih menghargai ibu dan bapa mereka,” akhirinya.