‘Saiya tara kinal Neelofa’-Hussein pemilik kedai kedai karpet

neelofa beli karpet

Seremban: “Saya tak kenal pun Neelofa, memang biasanya saya ambil gambar pelanggan dan memuat naik di media sosial, perkara sama saya lakukan pada Neelofa dan suaminya, tak sangka dia selebriti terkenal,” kata seorang pekerja premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, dekat sini.

Pekerja yang dikenali sebagai Hussein, 30-an berkata, Neelofa dan suaminya ke premis mereka Ahad lalu dan membeli beberapa permaidani termasuk dari Iran yang berkualiti tinggi dengan harga keseluruhan RM10,000.

“Saya hanya tahu Neelofa selebriti terkenal selepas gambar mereka berbelanja di kedai ini tular di media sosial.

“Saya layan mereka macam pelanggan biasa dan merakam gambar selepas membeli permaidani di sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Neelofa dan Muhammad Haris atau PU Riz memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Ia berhubung dakwaan pasangan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Nilai, Negeri Sembilan.

Siasatan susulan penularan gambar dan video Neelofa bersama suami dalam media sosial dipercayai ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, susulan isu berkenaan, pihak polis turut ke kedai berkenaan semalam untuk mengambil keterangan.

“Polis tanya barang yang dibeli selebriti itu dan jumlahnya serta mengenai premis kami.

“Pihak polis ingin mendapatkan pengesahan bahawa Neelofa ada berkunjung ke premis kami untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top