Beras cap rambutan ada plastik? respon kementerian!!

MAKLUM BALAS KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MENGENAI ADUAN BERAS PLASTIK DI DALAM KAMPIT BERAS JENAMA RAMBUTAN SUPER SPECIAL TEMPATAN 5%

Merujuk kepada beberapa klip video yang telah viral di media-media sosial berkaitan dakwaan kandungan beras plastik dalam kampit beras Jenama Rambutan SST5%, Cawangan Kawalselia Padi dan Beras(KPB), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menjalankan pemeriksaan di kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama tersebut pada 18 Jun 2017 di Mergong, Alor Setar, Kedah. Pemeriksaan dijalankan termasuk mengenalpasti punca utama beras dan meneliti keseluruhan proses pembungkusan beras tersebut.

Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati syarikat tersebut memperolehi bekalan beras dari sumber sah iaitu dari petani dan pengilang tempatan. Pemeriksaan juga mendapati tidak terdapat kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis tersebut. Beberapa siri ujian juga telah dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak. Berdasarkan keputusan awal, tiada bendasing plastik dijumpai dalam beras tersebut.

Seterusnya, sampel beras juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut. Siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan ke atas kilang pengeluar beras tersebut di negeri lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh menghubungi pejabat Kawalselia Padi dan Beras di setiap negeri, bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya serta dapat mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna beras dalam negara.

Cawangan Kawalselia Padi dan Beras,
Bahagian Industri Padi dan Beras,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia

Sponsored Links :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...