Pun begitu, di sebalik kesibukannya melakukan persiapan untuk bertanding di pentas keramat itu, klip video promosi AJL32 yang mula disiarkan di TV3 mengundang kecaman netizen terhadap penyanyi muda tersebut.

Menyifatkan Wany sudah mula daring dalam menggayakan pakaian urban bagaimanapun Nurshazwany Hasrita Hasbullah menepis dakwaan tersebut kerana menganggap dia masih lagi sama seperti sebelum ini.

“Ya, di laman sosial terutama ada peminat yang menegur penampilan saya sudah berubah sejak kebelakangan ini. Ada juga komen negatif yang mengatakan saya sudah lupa diri dan macam-macam lagi.

“Akan tetapi imej yang dipaparkan dalam klip video dan poster promosi berkenaan adalah semata-mata memenuhi kriteria yang dikehendaki pihak produksi penerbitan.

“Tambahan pula, saya tidak merasakan pakaian tersebut keterlaluan kerana masih lagi menutup aurat dan menjaga keperibadian seorang Muslimah bertudung seperti saya,” katanya menjawab kecaman netizen.

Namun sebagai seorang yang cuba untuk berfikiran positif dan tidak mahu bersikap prejudis, Wany menganggap kata-kata itu adalah kritikan yang baik malah sedar dirinya bukan seorang manusia sempurna, maka dia menerima setiap kritikan dengan berlapang dada.

“Tidak timbul isu… itu semua adalah angkara haters yang ingin menjatuhkan. Saya terima dengan terbuka dan berjanji untuk sentiasa menjaga imej seorang Muslimah.

“Walaupun saya ada hak untuk menentukan pemakaian dan buah fikiran tetapi pendapat peminat juga perlu diberi perhatian demi menjaga hati banyak pihak,” katanya.

Lagipun menurut Wany, pemilihan pakaian yang dipertonton bagi menjayakan sesi fotografi poster berkenaan bertepatan dengan tema AJL32 yang menampilkan Fesyen dan Muzik.

READ
Nadzmi Adhwa, Ardell bernikah

Perbaiki vokal, penghayatan lagu

Menyentuh tentang persediaannya menghadapi saingan AJL32, Wany menjelaskan, dia mengambil inisiatif untuk memperbaiki mutu vokalnya dengan mempelajari teknik yang betul dengan individu yang pakar.

Bernaung bawah syarikat rakaman FMC Music Sdn. Bhd.(FMC), pihak pengurusannya juga mengambil berat tentang persembahan artis-artis mereka, apatah lagi untuk pentas berprestij tersebut.

“Selain saya, Haqiem Rusli dan Ernie Zakri juga adalah artis naungan FMC. Kebetulan, Ernie merupakan seorang guru vokal berpengalaman. Jadi, saya gunakan kesempatan itu untuk menimba ilmu daripadanya.

“Meskipun kami bersaing di pentas yang sama, dia tidak lokek memberi tunjuk ajar. Saya juga belajar cara untuk menghayati lagu menerusi bait-bait liriknya supaya dapat meninggalkan kesan dalam persembahan pada malam itu kelak,” jelasnya.

Pada masa yang sama, mahasiswa dalam bidang ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan di Management and Science University (MSU) Shah Alam, Selangor itu memberitahu, dia turut menitikberatkan soal stamina agar pernafasannya ketika menyanyi tidak terganggu.

Katanya, dia juga melakukan senaman ringan, di samping mengamalkan diet dan pemakanan sesuai demi memastikan kesihatannya tidak terjejas semasa bertanding pada pentas akhir nanti.

AJL32 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Februari dan akan dihoskan oleh pasangan pengacara popular, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad.