![[Video] Inilah Tindakan Terpuji TMJ Kepada Para Pemain Malaysia Sejurus Tamat Perlawanan [Video] Inilah Tindakan Terpuji TMJ Kepada Para Pemain Malaysia Sejurus Tamat Perlawanan](https://i0.wp.com/awakcutes.com/wp-content/uploads/2017/08/21078709_910871552399024_4692539079976423129_n.jpg?resize=707%2C401)
SKUAD Bawah 22 (B-22) negara gagal meraih emas setelah tewas di tangan juara bertahan Thailand 1-0 pada final bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, tempohari.
Hanya pingat perak yang mampu dihadiahkan skuad bawah B-22 (B22) Malaysia sekali gus gagal mengulangi kejayaan pada 2011. Gol tunggal perlawanan hadir menerusi kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli yang gagal menepis kemas sepakan penjuru Thailand sehingga menerjah ke gawang sendiri pada minit ke 39.
Pasukan Malaysia dilihat menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dengan beberapa gerakan.
Peluang terbaik pasukan negara muncul pada minit ke-78 menerusi rembatan Syazwan Andik Mohd Ishak yang sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.
Biarpun bertungkus lumus mencari gol penyamaan, namun anak buah Kim Swee terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Thailand apabila gagal memecahkan kebuntuan jaringan hingga wisel penamat.
Walaupun status Thailand sebagai jaguh bola sepak Asia Tenggara itu tidak dapat digugat namun pemain negara telah mempamerkan persembahan terbaik di hadapan 80,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Final bola sepak Sukan SEA ini merupakan antara tumpuan utama kejohanan kali ini di mana
isu tiket menjadi kontroversi kerana sistem penjualannya dianggap ‘kuno’ apabila puluhan ribu penyokong tempatan hampa dan berputih mata kerana gagal mendapatkan tiket.
Keputusan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) menjual tiket hanya di Stadium Shah Alam, venue perlawanan akhir itu, menimbulkan kemarahan seluruh penyokong skuad kebangsaan, terutama dari kawasan luar bandar, selain dikecam hebat netizen menerusi pelbagai platform media sosial.
Menyedari akan hal tersebut, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tampil memberi penjelasan faktor-faktor yang diambil kira dalam membuat keputusan itu.
Menerusi Twitter Khairy menjelaskan bahawa memang ada perancangan awal untuk menjual tiket final secara dalam talian seperti semasa aksi separuh akhir, namun masalah timbul apabila pembekal sistem transaksi pembayaran dalam talian itu tidak dapat menjamin kestabilan sistem kerana jumlah pengguna yang terlalu ramai.