Bukan mudah mematahkan hati yang mendorong kepada perlakuan negatif. Sementelahan melihat orang lain memiliki nasib yang lebih beruntung. Maka, segudang nafsu mula menguasai akal fikiran.
Itu inti pati drama Raisha 2 yang bakal disiarkan menerusi TV Tonton pada 10 Oktober nanti.
Kembali dilakonkan oleh Datin Diana Danielle yang membawakan watak Raisha, drama Raisha 2 turut diserikan dengan barisan pelakon terkenal seperti Hafidz Roshdi, Mawar Rashid, Hafreez Adam, Reen Rahim, Fadlan Hazim dan Azrel Ismail.
Merupakan kesinambungan daripada drama Raisha yang pernah disiarkan pada 2017, pengarahnya, Nizam Zakaria mengakui terkejut dengan fenomena drama Raisha sehingga dia dituntut untuk menghasilkan sekuelnya pada tahun ini.
“Sebenarnya saya sendiri terkejut dengan fenomena drama Raisha. Ini kerana, drama berkenaan disiarkan di portal tonton.com.my dan selepas itu disiarkan di slot Lestary, TV3. Bukannya di slot yang kita sedia maklum sering memiliki jumlah tontonan yang tinggi seperti Akasia,” ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun dia bersyukur, drama arahannya itu disukai penonton sehingga menjadi trending di laman sosial Twitter ketika disiarkan pada 2017.
Malah, akuinya, dia turut menerima mesej daripada peminat yang memuji jalan cerita Raisha yang lain daripada kebanyakan drama.
“Saya menerima maklum balas mengatakan drama Raisha berbeza dengan drama yang lain. Ini kerana, saya terjemahkan watak utamanya sebagai antagonis,” jelas Nizam yang bersemangat untuk menghasilkan Raisha 2 dengan lebih menarik.
Ironinya, untuk Raisha 2, dia terpaksa berdepan dengan cabaran baharu iaitu mengarahkan watak cilik bernama Qayyum yang merupakan anak Raisha.
“Dalam drama terbaharu ini, Raisha sudah berkahwin dengan Fuad dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Agak mencabar juga mengarahkan kanak-kanak berusia dua tahun kerana kita kena ikut rentak dia.
“Mujur juga saya mempunyai pengalaman mengarahkan drama yang turut dibintangi kanak-kanak sebelum ini seperti Strawberi & Karipap serta Baby Anak Milik Siapa?,” ujarnya yang yakin watak kanak-kanak itu akan menguatkan lagi jalan cerita Raisha 2.
Mengulas lanjut, kata Nizam, kebanyakan drama yang membabitkan kanak-kanak sering mendapat sambutan, sementelahan watak mereka diterjemahkan secara comel dan penuh dengan keletah.
“Watak Qayyum dalam Raisha akan menyebabkan penonton jatuh kasihan kepada kanak-kanak itu disebabkan sikap ibunya yang jahat,” ujar Nizam.
Berkongsi lanjut mengenai jalan cerita Raisha 2, Nizam memberitahu, selepas dua tahun berkahwin dengan Fuad, Raisha berasakan hidupnya masih belum sempurna.
Kemuncak perubahan sikap Raisha bermula selepas dia melihat sebuah penggambaran drama dan mengidam untuk menjadi glamor.
“Jadi dia fikir kenapa dia tidak dapat kehidupan seperti itu? (pelakon). Dia mula menyesal kerana berkahwin awal dan naluri jahat kembali menghantui akal fikirannya,” kongsinya yang memberitahu drama Raisha 2 akan mempunyai dua penamat.
Dua penamat yang dimaksudkan Nizam adalah, penonton akan melakukan undian untuk menentukan kesudahan drama Raisha 2.
Raisha 2 Jiwanya Mengidamkan Kesempurnaan
Siri drama ini mengisahkan tentang Raisha seorang wanita yang begitu dahagakan populariti. Beliau yang sebelum ini mempunyai seorang anak lelaki, Qayyum hasil dari perkahwinannya bersama Reymy kemudiannya berkahwin dengan Fuad, seorang usahawan muda yang juga sahabat karibnya semenjak bangku sekolah. Setiap perniagaan pastinya melalui beribu cabaran dan Fuad tidak terkecuali. Apabila pendapatan perniagaanFuad semakin merosot, Raisha merasakan dia perlu mengejar cita-citanya kembali untuk meningkatkan populariti.
Raisha yang bercita-cita ingin menjadi selebriti terkenal mengorak langkah dengan meninggalkan keluarganya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur bersama Rashdan, yang menjanjikan watak utama untuk filem akan datang.
Fuad yang marah dengan tindakan Raisha masih tidak mahu menceraikan Raisha kerana terlalu mencintainya. Namun untuk Raisha, penceraian adalah jalan terbaik selepas tidak tahan lagi dengan karenah Fuad yang memaksanya untuk berubah.
Datin Diana Danielle membawakan watak utama sebagai Raisha manakala Hafidz Roshdi membawakan watak Fuad. Turut membintangi drama ini termasuk aktor Fadlan Hazim, Hafreez Adam, Mawar Rashid, Azrel Ismail, Ridzuan Hashim, Reen Rahim, Tunku Hanis dan Aisyah Atan.
Airin Zainul, Pengarah tonton, Pelesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad berkata,
“Genre drama adalah pilihan tontonan paling popular di platform tonton, seterusnya membuatkan kami bersemangat mengolah semula kisah Raisha. Raisha yang bakal disiarkan di tonton akan menampilkan dua pengakhiran yang berbeza; menambahkan keterujaan peminat drama Raisha.
“Raisha 2 akan turut ditayangkan di slot Lestary TV3 dua minggu selepas tayangan awal di tonton. Penonton boleh menikmati kesemua episod secara terus-menerus menerusi platform tonton sebelum siaran TV”
Tajuk | Raisha 2 |
Tarikh Tayangan / Masa | 20 November 2018 |
Durasi | 30 minit |
Episod | 12 |
Pengarah | Nizam Zakaria |
Penulis Skrip | Mufid Suhaimi |
Pelakon | Datin Diana Danielle sebagai RaishaHafidz Roshdi sebagai Fuad
Fadzlan Hazim sebagai Rashdan Hafreez Adam sebagai Mikail Mawar Rashid sebagai Ika Azrel Ismail sebagai Azlan Ridzuan Hashim sebagai Datuk Z Reen Rahim sebagai Mira Tunku Hanis sebagai Tini Aisyah Atan sebagai Mak Ani |
Kini, pengguna tonton di Malaysia boleh menikmati program TV dan rancangan kegemaran secara PERCUMA. Alami variasi pengalaman tontonan meluas melalui akses ke arkib hiburan terbesar Malaysia terdiri daripada drama, berita, sukan, hiburan, kandungan premium dan klasik emas, selain dapat menikmati siaran episod keseluruhan secara terus menerus (‘binge-watch’).
tonton turut memperkenalkan xtra – portal berita hiburan dan gaya hidup; melengkapkan lagi pengalaman tontonan secara atas talian. Xtra merangkumi perkembangan hiburan semasa, kontroversi, kisah viral, serta gaya hidup dari lensa ‘milenial’.
Untuk maklumat lanjut, layari www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi tonton dari Google Play Store & App Store. Ikuti kami melalui platform media social kami :