SHAH HERO yang Dibenci-Jangan benci cintaku!

shah, shah jangan benci cintaku,

Kemunculan pelakon Saharul Ridzwan menerusi watak Shahrizal Hayrat (Shah) dalam drama Jangan Benci Cintaku di slot Akasia, TV3 cukup memberi impak besar kepada penonton dan kerjayanya. Semua orang marah dengan shah sebab dengar cakap nek pah tuh dah kenapa??

Jika tiga tahun lalu nama Saharul, 29, pernah hangat diperkatakan menerusi drama Hati Perempuan dan Kau Aku Kita, kini bapa kepada seorang anak lelaki ini kembali mencuri perhatian penonton.

Bukan saja penangan watak Shah itu, kemampuan Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim menjayakan karakter terbabit wajar diberi pujian.

Bagi Saharul, apa saja maklum balas diberikan penonton baik suka, geram, marah atau benci, ia satu rahmat besar kerana membuktikan lakonannya berkesan.

“Penangan watak Shah pernah saya lalui ketika berlakon drama Love You Mr Arrogant. Bezanya, ketika itu saya melakonkan watak pembantu dan Shah ini watak utama.

“Kiranya apa yang saya rancang bersama pengarah, Pali Yahya dan pelakon lain menjadi. Ketika mendapat skrip, saya berbincang dengan pengarah untuk mengubah sedikit karakter Shah.

“Dalam drama ini saya inginkan hero dibenci iaitu lari daripada kebiasaan apabila watak utama dipuja dan disukai. Kalau perasan, pada episod awal watak Shah memang disukai tetapi apabila hampir ke penghujung dia semakin dibenci,” katanya.

Saharul yang juga bekas finalis Hero Remaja 2012 berkata, olahan watak Shah itu realiti kehidupan sebenar dan terjadi kepada pasangan berkahwin.

Namun, Saharul menegaskan Shah sekadar lakonan dan mahu peminat tidak menyamakan dirinya dengan watak itu.

“Ke mana saya pergi orang panggil saya Shah. Malah, ada yang cakap jangan jadi seperti Shah. Saya hormat dan terima setiap maklum balas mereka. Begitu juga di Instagram dan Twitter, boleh dikatakan setiap hari Shah dimaki hamun.

“Sejujurnya, maklum balas sebegitu membuatkan saya puas.

“Cuma, apa yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan adalah jalan cerita dan mesej di sebaliknya. Ia bukan sekadar lakonan semata-mata,” katanya.

Di sebalik kemarahan penonton terhadap watak Shah, ia sebenarnya petanda kejayaan drama 28 episod itu.

READ
Tonton live sejuta rasa buat Adelia episod 18

Malah, Saharul menyifatkan keberhasilan drama itu atas kerjasama berpasukan dan bukan terletak pada pelakon saja.

“Kalau jalan cerita sesebuah drama bagus, hasilnya memang bagus. Jika orang bercakap mengenai lakonan saya pula, ia membabitkan pasukan.

“Bukan saja pengarah, kru juga banyak membantu saya. Ada ketika mereka memberi idea kepada saya dalam menjayakan sesuatu babak. Jadi, saya tidak mahu bongkak mengatakan ia atas usaha sendiri,” katanya.

Tidak kecil hati

Meski dihina, dicaci dan dan dilontarkan komen penuh kebencian di laman sosial, Saharul tersenyum bangga.

“Saya baca setiap komen terutama di Twitter. Tidak ada alasan untuk saya berkecil hati. Saya menyifatkan ia maklum balas spontan yang lahir dari hati mereka disebabkan watak Shah.

“Bagi menyemarakkan lagi komen mereka, saya selalu bakar ‘line’ supaya mereka terus membenci Shah. Bagi saya, ini semua sekadar luahan emosi yang kebanyakannya terdiri daripada wanita.

“Cuma, kalau mereka boleh jadi seperti Feeqa lagi bagus, malah saya yakin perhubungan dalam rumah tangga akan lebih bahagia dan harmoni,” katanya.

Namun, Saharul mengakui dia dan Zahirah Macwilson pernah melahirkan rasa bimbang dengan hasil drama itu.

“Diakui, pada awalnya saya dan Zahirah risau sejauh mana drama ini boleh pergi. Apatah lagi sepanjang penggambaran ada saja masalah timbul membabitkan produksi.

“Sebagai pelakon, kami hanya jalankan tanggungjawab diberikan. Berjaya atau tidak drama ini, kami serahkan kepada penonton. Alhamdulillah, kerisauan kami bertukar menjadi sesuatu yang lebih indah,” katanya.

Gemukkan badan

Bagi menjayakan watak Shah, Saharul sengaja menggemukkan badan bagi memberikan kelainan terhadap penampilannya.

“Saya mahu penonton fokus kepada watak Shah dan jalan cerita drama ini. Saya tidak mahu maklum balas lebih kepada penampilan dan rupa paras saya di kaca TV.

“Disebabkan itu, sebelum memulakan dan sepanjang penggambaran saya makan tak berhenti. Lupakan seketika soal diet. Hasilnya, seperti yang dilihat di kaca TV.

“Memang ramai tegur kenapa gemuk dan saya jawab sengaja berbuat sedemikian. Ternyata percaturan saya menjadi apabila watak dan jalan cerita lebih diperkatakan,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: