Jelasnya, jawapan yang diberikan adalah berdasarkan pengetahuannya melalui pembacaan sebelum ini.

Malah kata wakil negeri Selangor ini, sebagai peserta program itu dia menafikan dakwaan mana-mana pihak yang mengatakan dia terlebih dahulu mengetahui jawapan untuk soalan itu walaupun pilihan jawapan yang dikemukakan belum sempat dibaca sehingga habis.

“Memang pada mulanya saya mahu menjawab A tetapi ketika menekan buzzer, jawapan untuk B sudah dibaca. Jadi saya teringat kembali melalui pembacaan saya sebelum ini jawapan untuk soalan itu adalah B. 

“Apa yang tular mungkin mereka tidak dengar jawapan B sudah dibaca. Jujurnya memang bidang sastera bukan kepakaran saya. Sebab itu bila Alif Satar minta saya bacakan kembali jawapan saya tidak boleh ulang sebab tidak dapat ingat dengan betul tajuk sebenar karya Datuk Usman Awang itu.

Menurut Shazana melalui kontroversi ini juga laman sosialnya diserang netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati.

“Saya mendapat banyak komen yang tidak berpuas hati, tetapi ini tidak mematahkan semangat saya. Pengajaran yang saya dapat adalah untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu program realiti ini kembali menjadi tumpuan apabila Shazana menjawab soalan yang diajukan oleh tetamu jemputan Datin Sharifah Shawati dengan betul walaupun belum sempat keempat-empat jawapan dibaca.

Melalui video yang tular tu netizen kembali mempersoalkan ketelusan program ini dalam mencari gadis terpintar di Malaysia. Sebelum ini seorang bekas peserta program ini Syakirah Mohd. Azam atau Kiera mendakwa program tersebut mengamalkan sikap pilih kasih dan memberikan jawapan awal kepada peserta pilihan.

Selain Shazana, empat lagi finalis yang akan berentap di pentas akhir Clever Girl Jumaat ini adalah Sara Amelia, Hani Nazrina dan Fadila Zukaira. – UTUSAN ONLINE