Polis bocor maklumat, ambil duit perbuatan jijik – KPN

rasuah

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat pegawai dan anggotanya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Abdul Hamid berkata, siasatan dilakukan mendapati berlaku kebocoran maklumat apabila Nicky, 33, berjaya memindahkan sejumlah besar wang dibawa keluar dari premis di SetiaWalk, Puchong, Selangor.

“Hal itu dilihat saksi terbabit dan saksi berkenaan yakin itu adalah wang tunai sebagaimana dipaparkan di media sosialnya dengan wang ditaburkan di atas lantai.

“Betapa ‘slacknya’ pegawai ini walhal begitu ramai mangsa tertipu dengan kes ini. Kita akan tangkap pegawai polis ini.

“Mereka ini degil. Masih lagi hidup dengan khayalan dan lihat nasib dia bagaimana. Saya mahu lihat sejak bila dia ambil duit. Kalau dia ambil selepas saya bagi amaran, maknanya dia memang tidak cerdik. Tamak! Akhirnya tumpas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan individu dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket ini adalah pegawai dan anggota polis selain agensi penguat kuasa lain.

“Mereka ini (anggota penguat kuasa) bergaul, menjadi ahli, membantu dan menerima suapan daripada sindiket berkenaan.

“Saya akan memperhalusi dan menyiasat akaun bank bagi menyiasat kaedah pembayaran dibuat dan lain-lain perkara untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Saya akan ambil tindakan kerana tiada isu mahu cover (lindung) dan tiada apa mahu dimalukan. Ini hakikatnya.

“Betapa teruknya keadaan ini. Sampai bila? Saya tidak akan jemu dengan perkara ini. Teruskan bersihkan elemen ini di mana penjenayah masuk dalam PDRM, atur tindakan dapat perlindungan.

“Saya akan utamakan tindakan di bawah undang-undang dan tatatertib kemudian. Perbuatan itu sungguh jijik. Saya cenderung untuk ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan pengubahan wang haram,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top