Majikan diingatkan tidak paksa pekerja sedang jalani kuarantin datang bekerja – PM

3 ahli parlimen undi bajet 2021
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan majikan agar tidak memaksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin untuk datang bekerja. – Sekadar Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Majikan diingatkan agar tidak memaksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin COVID-19 untuk datang bekerja. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu hanya membahayakan semua orang terhadap jangkitan COVID-19.
Selain itu kerajaan juga katanya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.
“Saya memberi penekanan kepada aspek pematuhan SOP di kilang-kilang, di tapak-tapak pembinaan, di tempat penginapan pekerja dan di tempat kerja. Ini kerana jangkitan COVID-19 dalam gelombang ketiga ini banyak berlaku di tempat-tempat ini.

“Data terkini menunjukkan 59 peratus jangkitan COVID-19 berlaku di tempat kerja, 19 peratus di pusat tahanan, 14 peratus di kediaman, 5 peratus di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing 2 peratus kes import dan kumpulan berisiko.

“Saya ingin mengingatkan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa,” jelasnya sewaktu menyampaikan perutusan khas petang ini.
Malah tambah Muhyiddin, satu pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditubuhkan bagi memantau pematuhan SOP.
Sehingga kini, sebanyak 2,276 premis telah ditinjau manakala 197 premis telah diberi teguran serta 34 lagi diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.
Dalam pada itu, 82,141 individu telah dikompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 31,470 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan.
“Saya menyeru pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kerajaan mendengar pandangan rakyat dengan tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika PKP, jadi rakyat diminta mengikut SOP yang ditetapkan agar sektor ekonomi dapat terus beroperasi demi memutuskan rantaian COVID-19 di tempat kerja dan komuniti,” katanya lagi.
[SIDANG MEDIA] Perutusan Khas Perdana Menteri | 4 Februari 2021 
credit to astroawani.com

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top