Selain dua kategori baharu, sebanyak 13 kategori utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular. 

Turut dipertandingkan Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular. 

Artis Selain itu, lima kategori online dipertandingkan iaitu Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Watak Antagonis Popular dan Lagu Paling Boom. 

Selain trofi utama, Bintang Paling Popular, ABPBH juga memberi pengiktirafan kepada anak seni yang banyak menabur jasa kepada industri seni hiburan iaitu Anugerah Sepanjang Hayat yang akan diumumkan pada malam kemuncak. 

Khaidir berkata, bagi menghangatkan ABPBH 32, dua siri jelajah bersama artis dan kelab peminat turut dirancang. Siri jelajah pertama akan berlangsung pada 3 Ogos 2019 di KOMTAR JBCC, Johor Bahru, disusuli pada 24 Ogos 2019 di Aman Sentral, Sungai Petani, Kedah. Turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor. 

Acara kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada hari Ahad, 22 September 2019. 

Lokasi rasmi acara kemuncak ABPBH 32 turut ditaja oleh Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar televisyen rasmi, Rool FM dan Hot FM sebagai stesen radio rasmi dan TONTON sebagai platform digital rasmi.

Sementara itu, Datuk Ahmad Zaini berkata, rekod ABPBH tahun lalu membuktikan eratnya hubungan artis, peminat dan media. 

“ABPBH 31 pada 7 Oktober tahun lalu merekodkan sejarah apabila lebih 24 juta undian diterima bagi 13 kategori utama dan lima kategori online yang dipertandingkan dalam tempoh undian selama sebulan,” katanya. 

Jumlah tontonan bagi ABPBH 31 juga mencatatkan rekod tontonan tertinggi hampir enam juta secara menyeluruh sepanjang hampir tiga jam bersiaran, bermula jam 9 malam sehingga 12 malam. 

Proses undian ABPBH 32 boleh dilakukan melalui laman web www.abpbh.com.my bermula 15 Julai sehingga 14 Ogos. Calon perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018. 

Undian ABPBH 32 lebih menarik kerana peminat berpeluang menggandakan undian melalui langganan BH Digital dengan membuat pembayaran menggunakan sistem DuitNow. 

Mengenai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah ‘People’s Choice’ yang terunggul anjuran BH yang diadakan setiap tahun bermula pada 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan selama 32 tahun, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila ia diadakan setiap tahun. ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping memberi peluang kepada pembaca dan pengikut setia BH untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah. 

Penganjur menerima banyak pencalonan daripada semua syarikat rakaman, syarikat penerbitan filem, stesen TV dan radio untuk artis dan selebriti di bawah naungan mereka. Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk diterbitkan iaitu Januari 2018 hingga Disember 2018.