Kenyataan Akhbar KPK 27 Jun 2018 – Perkembangan Terkini Isu Cacing Mati Ditemui Dalam Produk Ikan Dalam Tin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini tentang laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk sardin dalam tin.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan ke atas produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta di pasaran tempatan. Selain daripada 2 jenama produk ikan sardin yang telah dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. sebelum ini iaitu TL Tan Lung dan TLC, hasil pemantauan terkini mendapati produk ikan sardin jenama Cinta, Sea Fresh dan HS Brand juga mengandungi cacing FilumNematoda daripada genus Anisakis spp..

WhatsApp Image 2018-04-19 at 4.58.54 PMcheap-155g-canned-sardine-in-tomato-sauce

Di samping itu, produk ikan mackerel dalam sos tomato jenama King Cup, Bintang dan TC Boy didapati mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Sehubungan itu, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat terlibat telah diarah menarik balik produk tersebut dari pasaran. 

KKM juga telah mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. Tahan, Uji dan Lepas  merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini, cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.. Manakala bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM.

Bagi produk ikan dalam tin, risiko kepada kesihatan adalah amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukan mana-mana pihak yang terlibat di dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

READ  Inilah puncanya siti kasim ditahan, sebarkan!!! (video)

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

 

27 Jun 2018

sd1sd2sd3sd4

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: