Dividen Agihan pendapatan ASB2, 4.25 sen: ASM, 4.00 sen 2020 ok ke?

asb2

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan 4.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan pengagihan pendapatan 3.53 sen seunit bagi ASN Equity 3, 3.11 sen seunit bagi ASN Imbang 2 dan 3.52 sen seunit bagi ASN Sara 1 untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM488.2 juta yang memanfaatkan 459,416 pemegang unit dan ASM mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM851.2 juta yang memanfaatkan 559,222 pemegang unit.

Sehingga 25 Mac 2021, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM499.0 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM727.6 juta.

“Prestasi ASB 2 dan ASM ditanda aras berbanding Deposit Tetap 12 Bulan Maybank dan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, ASB 2 dan ASM masing-masing mencatatkan pulangan tahunan sebanyak 4.25 dan 4.00 peratus, berbanding dengan 1.95 peratus yang dicatat Deposit Tetap 12 Bulan Maybank.

“ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 masing-masing mencatatkan pulangan dua digit sebanyak 18.7 peratus, 17 peratus dan 10.8 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 yang didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti daripada prestasi terendah pada 2020,” kata PNB dalam satu kenyataan.

Menurut PNB, kedua-dua kadar pulangan terbabit ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.

Dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta bagi ASN Equity 3, iaitu 3.53 sen seunit kepada 86,306 pemegang unit dengan pegangan 2.2 bilion unit.

ASN Imbang 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM45.4 juta, iaitu 3.11 sen seunit kepada 85,147 pemegang unit dengan pegangan 1.5 bilion unit dan ASN Sara 1 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM91.8 juta, iaitu 3.52 sen seunit kepada 85,776 pemegang unit dengan pegangan 2.6 bilion unit.

Pulangan ini mewakili hasil dividen antara 3.15 hingga 3.95 peratus untuk setiap dana berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) masing-masing pada 25 Mac 2021.

“Pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana ini diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasi, dividen dan pendapatan-pendapatan lain.

“Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa untuk setiap dana meningkat dengan ketara antara 40 hingga 52 peratus daripada jumlah tiga pendapatan sehingga kini dalam tahun kewangan semasa, mencerminkan impak positif hasil daripada inisiatif kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana terbabit,” katanya.

PNB berkata, walaupun pandemik Covid-19 mewujudkan pelbagai cabaran, PNB akan terus melaksanakan strategi kepelbagaiannya dengan meningkatkan pelaburan dalam pasaran global dan kelas aset lain seperti hartanah, pelaburan swasta dan instrumen pendapatan tetap.

PNB juga akan terus kekal fokus terhadap pelaksanaan pelan strategiknya dalam membina portfolio yang mampan dan berdaya tahan dari segi kewangan.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) seluruh negara bagi kelima-lima dana sudah ditangguhkan buat sementara waktu dari 24 hingga 31 Mac 2021 bagi membantu proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2021.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top