Brunei temui telaga minyak & gas darat bernilai RM19 bilion

BANDAR SERI BEGAWAN 15 APRIL: Brunei berjaya menemui semula telaga minyak dan gas di Telaga Layang-Layang di kawasan Lumut yang merupakan penemuan darat signifikan pertama bagi Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dalam tempoh 37 tahun.

Media tempatan negara itu MEDIA PERMATA melaporkan jumlah sebenar penemuan penting itu masih belum dinilai tetapi kiraan awal menunjukkan bahawa sasaran awal iaitu 18mmboe telah dilepasi.

Dilaporkan potensi pendapatan adalah bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada belanjawan tahunan negara sebanyak B$6 bilion (kira-kira RM19 bilion).


Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, BSP berkata, penemuan minyak dan gas Layang-Layang itu merupakan yang pertama menggunakan konsep geologi terbaru iaitu Shale diapir trap.

Telaga sedalam 4,319 meter; lebih daripada tinggi Gunung Kinabalu iaitu 4,095 meter; ditemui di Layang-Layang dalam kawasan Lumut, Daerah Belait selepas 37 tahun tempat sama pernah diteroka.

Walaupun sudah berusia lebih 80 tahun, ia merupakan satu kurnia yang terus berjasa di mana Seria merupakan kelahiran bagi industri minyak dan gas di Brunei dan akan terus menjana masa depan Brunei bagi generasi  mendatang.

P4-A_13417Menurut kenyataan tersebut, paling bermakna apabila telaga digerudi selama 567 hari tanpa rekod kemalangan itu dijumpai berdekatan pedalaman Seria, lapangan minyak pertama dan tertua di Brunei dibuka pada 1929 lalu.

Untuk rekod, sejak 88 tahun terdapat lebih 900 telaga cari gali sekitar lapangan medan tersebut, namun kini hanya kira-kira 350 buah yang masih lagi beroperasi mengeluarkan sejumlah 167,000 tong minyak sehari untuk Brunei.

Dianggarkan telaga baharu itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak 18 juta tong minyak manakala tiga lagi telaga telah dikenal pasti positif berada di kawasan tersebut yang bakal diteroka sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Sekitar 90 peratus sumber ekonomi Brunei adalah daripada hasil minyak termasuk di perairan Laut China Selatan seluas lebih 10,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 100 kilometer dari pantai.

Selain daripada kempen penerokaan itu, minyak yang ditemui di Telaga Layang-Layang berkenaan akan terus dinilai dan dimajukan dengan sasaran tinggi ditetapkan bagi produksi pertama pada 2018 menerusi saluran paip ke BLNG dan SPARK yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Telaga Layang-Layang.

Penerokaan itu dijangka membawa kepada lebih banyak perkembangan minyak dan gas darat pada masa akan datang serta membuka lebih banyak peluang bagi Brunei dalam sektor hiliran.

Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri Powell berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang amat menarik di mana ia menunjukkan bagaimana teknologi terkini dan teknik canggih dalam penterjemahan data boleh membuka pelbagai peluang yang baru.

 Gambar ihsan BSP

=EZY=

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top