Biar aku jadi penunggu episod 10, tv3

biar aku jadi penunggu,

Sebelum tuh kita baca dari ceritanya di novel.

“Pia…” panggil Afeef lemah kepada adiknya itu.

“Abang…” balas Afia sambil mendekati Afeef dan si comel yang lena dalam pelukan papanya. Belum lagi hilang rasa hati yang masih terkejut akan kepulangan Afeef, sekali lagi dia dikejutkan dengan kewujudan si comel di dalam pelukan abangnya. Di usap pipi mulus si comel. ’SubhanaAllah, comelnya dia’. Desis hati Afia. Jatuh kasih apabila melihat wajah mulus si comel yang sedang lena itu. Satu yang jelas terlihat di wajah mulus itu adalah ada iras abangnya. Afia memandang abangnya dengan penuh tanda tanya. 

Tonton dari daily motion:


Biar Aku Jadi Penunggu Episod 10 by zikrihusaini

“Abang, bagi Pia bawak baby ni.” pinta Afia tiba-tiba apabila abangnya hanya mendiamkan diri sahaja. Terus sahaja Afia mengambil si comel dari pelukan Afeef dan di bawa masuk ke rumah.

Afwan pula dari tadi sudah menunggu di muka pintu. Niatnya tadi ingin membantu Afeef mengangkat beg yang dibawa. Tetapi, dia terpegun apabila melihat Afia mengendong si kecil yang sedang lena tidur. Baru sahaja dia ingin bertanya, Afia menunjukkan isyarat senyap kepada Afwan dan memuncungkan mulutnya ke arah Afeef yang sedang berjalan mengekori di belakangnya sambil menarik sebuah beg dan sebuah lagi beg kecil di tangannya. Terlalu banyak tanda soal di dalam kepalanya apabila melihat kewujudan si comel yang tidak dikenalinya itu.

“Pia, anak siapa pulak Pia ambik ni?” tanya Hajah Zubaidah apabila Afia masuk ke rumah dan duduk di hadapannya sambil memangku anak kecil.

“Pia…” panggil Haji Ramlee pula apabila Afia leka mengusap rambut si kecil dipangkuannya.

Afia membalas pandangan kedua orang tuanya lalu menunjuk ke arah Afeef yang sudah berdiri di tepinya. Afwan pula sudah duduk di sebelah Afia kerana dia juga cukup teruja melihat si comel yang sedang lena itu. Sungguh memang dari dulu lagi dia inginkan cahaya mata tetapi tidak kesampaian.

“Pia, kasi akak pegang baby ni.” pinta Afwan pula apabila dia terasa ingin memeluk dan mencium si kecil itu. Terlalu menggebu naluri keibuannya apabila melihat wajah mulus itu. Hajah Zubaidah hanya memerhati kedua anak perempuannya yang begitu asyik dengan si kecil. Terganggu sedikit tidur si kecil apabila Afwan mengambilnya daripada pangkuan Afia.

“Feef, anything you want to explain?” Tanya Haji Ramlee lembut apabila melihat Afeef hanya tunduk seperti pesalah. Memang pun dia dah buat salah apabila menjalin cinta dengan Damia Hani semasa di bumi asing itu tanpa pengetahuan mama dan ayahnya. Juga kepada wanita yang telah banyak berkorban demi dirinya. Iffat Hamani.

“Yah, ma.. I can explain. But, give me chance to find my wife first ma…” lirih Afeef menuturkan kata apabila melihat ayah dan mamanya mempamer riak wajah yang jelas menunjukkan tanda tanya kepadanya.

“Feef…apa lagi yang Afeef dah buat ni..?” Tanya Hajah Zubaidah lembut. Sebenarnya dia memang terkejut dengan kehadiran si kecil itu. Tapi apa yang dia pasti, si kecil itu mesti ada pertalian darah dengannya apabila melihat kening lebat si kecil cantik terbentuk seperti Afeef dan anak-anaknya yang lain. Satu ciri yang diwarisi daripada suaminya.

Haji Ramlee hanya diam tanpa kata untuk memberi ruang kepada anak lelakinya itu menerangkan perkara yang sepatutnya diterangkan kepada semua ahli keluarga yang menantinya selama ini.

“Ayah, mama…ni sebenarnya anak Afeef dengan Damia…” Jawab Afeef lemah. Hampir menitis air matanya apabila menyebut nama Damia. Satu-satunya perempuan yang dicintai sepenuh hati sehingga dia sendiri lupa akan keluarganya dan seorang wanita yang bergelar isteri.

“Astaghfirullah…” beristighfar Hajah Zubaidah apabila mendengar nama Damia menitir di bibir Afeef. Haji Ramlee hanya diam mendengar.

“Ma, jangan salah faham ma. Kami..sebenarnya… nikah kat sana ma..” jawab Afeef lemah melihat riak terkejut mamanya apabila dia menyebut nama Damia. Kerana dia tahu, memang sejak dulu lagi Hajah Zubaidah tidak berkenan jika dia bernikah dengan Damia. Cadangannya untuk bernikah dengan Damia demi memenuhi permintaan mamanya dulu, ditolak oleh Hajah Zubaidah kerana kurang menyenangi sikap wanita itu yang dilihat sedikit liar. Ia jelas daripada cara pemakaian Damia yang seksi dan cara bercakap yang manja melampau. Sungguh Hajah Zubaidah tidak berkenan menyebabkan Afeef mengambil keputusan untuk bernikah dengan Iffat yang juga sahabat baiknya.

“Astagfirullah…Afeef..” sekali lagi terdengar mamanya beristighfar untuk menangkan hati dengan pengakuan Afeef. Dilihat ayahnya hanya menggelengkan kepala. Sungguh kecewa hati si ibu apabila anak yang amat disayanginya bernikah dengan wanita yang tidak disenanginya tanpa pengetahuan keluarga. Bergenang air jernih di tubir mata Hajah Zubaidah kerana kecewa dengan apa yang telah Afeef lakukan.

“Idah, sabarlah.. semuanya dah terjadi..takda apa lagi yang perlu dipersoalkan…” Haji Ramlee membuka mulut menenangkan isterinya yang sudah mula mengesat air mata. Sungguh terguris hati si ibu diperlakukan oleh Afeef.

“Ma.. maafkan Afeef ma..” Afeef sudah melutut di hadapan mamanya yang mula tersedu-sedu menangis. Hajah Zubaidah hanya mendiamkan diri. Memang hatinya begitu terasa dengan apa yang telah dilakukan oleh Afeef.

’Kesian Iffat’ desis hati tuanya apabila teringatkan menantu yang seorang itu. Teringatkan nasib Iffat yang membuatkan Hajah Zubaidah bertambah sedih. Hajah Zubaidah memegang kepala Afeef dan menegakkan muka yang menunduk di hadapannya itu. Dia mengucup lembut wajah Afeef lalu mendakapnya erat. Diusap bahu si anak perlahan. Sungguh dia terlalu sayang dan merindui anak itu. “Afeef tak kesian ke dengan Iffat” bisik lembut Hajah Zubaidah ke telinga Afeef. Sengaja ingin menyedarkan Afeef akan kewujudan seorang wanita yang menunggunya saban hari.

Terasa begitu menusuk di hati Afeef apabila mamanya menyebut nama Iffat. Ya, sungguh dia memang rasa bersalah yang teramat dengan wanita itu dan melanggar janji yang telah ditabur kepada Iffat dahulu.

“Maafkan Afeef sekali lagi ma..” balas Afeef lembut seraya meleraikan pelukan. Dikucup lembut wajah mamanya itu.

“Sudahlah Feef…benda dah jadi Afeef…yang sudah tu, sudahlah..” kata Haji Ramlee pula apabila melihat dua beranak itu sudah tenang. Haji Ramlee memang bukan jenis yang suka memarahi anak-anak apatah lagi memusuhi mereka sejak dulu lagi. Sikap yang satu ini menyebabkan dia rapat dengan anak-anaknya malah ramai kenalannya juga begitu menghormatinya kerana sikap yang satu itu. Wajah itu sentiasa tenang. Afwan dan Afia hanya mendiamkan diri dari tadi dan tidak mengambil sikap campur tangan akan permasalahan yang dihadapi oleh Afeef kerana mereka tahu bahawa Afeef pasti akan menerangkan perkara sebenar apa yang telah berlaku menyebabkan dia langsung tidak mengirim khabar kepada keluarganya dalam 3 tahun itu.

Hajah Zubaidah mengalih pandang ke si kecil yang lena di pangkuan Afwan. ’Comelnya cucu mama ni Feef’ desis hati tuanya melihat si kecil itu. Dalam diam dia menerima kehadiran si kecil itu kerana dia tahu, memang tiada salahnya wajah mulus itu. Kenapa tidak dia menerima baik kehadirannya. Darahnya juga turut mengalir di dalam tubuh kecil itu. Malangnya, si ibu bayi itu bukan pilihan hatinya. Apa lagi yang ingin dikesalkan. Semuanya telah berlaku. Dia berjanji akan menerima baik kehadiran Damia dalam keluarganya. Cuma, masalahnya sekarang adalah Iffat. Dapatkah wanita itu menerima keadaan Afeef yang kini telah banyak berubah. Malah telah bergelar ’papa’ kepada sekecil itu tanpa pengetahuannya.

“Feef, mana Damia.” tanya Haji Ramlee apabila dari tadi persoalan akan ibu kepada si kecil itu sentiasa berlegar-legar di dalam kepalanya.

“Err..sebenarnya kami dah bercerai ayah,..bulan lepas..” terang Afeef perlahan. Dia hanya melihat si kecil yang sedang lena itu telah bertukar ke pangkuan mamanya. Dalam hatinya memanjat rasa syukur yang teramat kepada Allah apabila si kecil itu diterima baik dalam keluarganya.

“Laa..abang.. kenapa pulak?” tanya Afia yang dari tadi hanya diam, menyampuk dengan tiba-tiba. Matanya tidak lepas memandang wajah si comel itu.

“Feef, siapa nama cucu mama ni?” belum sempat Afeef menjawab soalan Afia, mamanya telah menyampuk bertanya akan nama si kecil itu.

“Muhammad Aqil Irfan ma…”jawab Afeef seraya tersenyum melihat kakaknya yang asyik mengusap rambut anaknya yang sedang lena itu.

“Ermm.. Pia, mama, ayah.. Afeef akan cerita kemudianlah hal tu. Buat masa ni, Afeef ingat, Afeef nak cari Iffat dulu. Banyak perkara yang Afeef kena bincang dengan dia.” sambung Afeef lagi.

“Hmm.. yela..ayah tak kisah Feef. Benda dah berlalu kan. Sekarang ni, hal Iffat. Hope Afeef dapat selesaikan secepat mungkin. Ayah taknak Afeef seksa Iffat terikat macam tu. Kalau Afeef memang taknak dia, lepaskan cara baik. Jangan diseksa anak orang tu.” balas Haji Ramlee sengaja ingin menguji kesungguhan Afeef kepada menantunya itu. Dia tahu yang Iffat memang sayang dan cintakan Afeef dengan ikhlas. Ianya jelas apabila kesungguhan Iffat yang sentiasa mengambil berat akan keadaan keluarganya dan sering bertanya akan perihal Afeef kepadanya. Jelas kelihatan sinar cinta yang suci di mata menantunya itu. Teringat juga dia akan wajah Iffat yang cukup berseri pada pandangannya semasa hari pernikahan 3 tahun lalu.

Tersentap hatinya apabila mendengar perkataan ’lepaskan’ dari mulut ayahnya. Sungguh langsung tiada niat untuk melepaskan Iffat. Kepulangannya ini pun ingin menunaikan semua janji-janji yang pernah ditabur kepada Iffat dulu. Dia ingin menebus semula kesalahannya yang lalu. Itu tekadnya untuk berjumpa dengan Iffat.

“Ayah, tiada niat pun Afeef nak lepaskan dia. Afeef nak dia kekal jadi isteri Afeef.” jelas Afeef lirih apabila dia sedikit terasa dengan kata-kata ayahnya itu. Hajah Zubaidah dan yang lain-lain hanya diam mendengar pengakuan Afeef itu.

“Bang, kesian Kak Hamani.” sampuk Afia pula sengaja memancing perhatian abangnya itu.

“Hmm..” hanya keluhan yang terdengar dibibir Afeef. Sungguh rasa bersalah begitu menggunung di dalam hatinya apabila teringatkan wajah wanita itu.

“Feef, biar mama call Iffat kejap bagitahu Afeef dah balik ya.” kata mamanya seraya menyerahkan si kecil itu ke pangkuan Haji Ramlee. Haji Ramlee menyambut lalu mencium pipi mulus si kecil itu. ’Cucu atuk’ desis hati lelakinya melihat si kecil dalam pangkuannya lena tidak berkutik langsung apabila Hajah Zubaidah menyerahkan kepadanya. Penat sungguh agaknya.

Hajah Zubaidah sudah melangkah ke tempat telefon dan Afeef tidak pula menghalang. Seberapa ketika, Hajah Zubaidah kembali ke tempat duduknya.

“Feef, Iffat kata lusa baru dia balik. 2 malam reunion dia orang.” terang Hajah Zubaidah memahami akan pandangan mata Afeef yang penuh berharap untuk mengetahui akan keadaan menantunya itu.

“Err..Afeef ingat Afeef nak pergi sana ajalah malam ni.” balas Afeef perkalahan. Sesungguhnya dia tidak dapat lagi menanggung rasa bersalah di dalam hati dan ingin segera diluahkan kepada Iffat. Empat pasang mata tertumpu kepadanya apabila dia menyuarakan keinginannya untuk berjumpa dengan Iffat pada malam itu juga.

“Boy ni biar betul. Dah pukul berapa ni. Tak penat ke?” tegur Afwan akan hasrat Afeef itu.

“Err.. takdalah penat sangat. Bukan jauh pun Teluk Batik tu. Afeef larat lagi nak drive.” balas Afeef bersungguh.

“Ala abang ni. Tunggu ajalah Kak Hamani balik Ahad ni. Abang bukan nak balik UK semula kan..?” kata Afia pula apabila abangnya hendak buat kerja gila malam-malam macam tu. Terkejut beruk pulak kakak ipar nya itu nanti apabila tiba-tiba melihat Afeef muncul dihadapannya.

“Ikut Afeef lah. Ayah dengan mama tak halang. Kalau Afeef rasa itu yang perlu Afeef buat, Afeef buatlah. Cuma satu aja ayah pesan, jangan nak bergaduh pulak kalau dah jumpa Iffat tu nanti. Cakap elok-elok dengan dia. Kalau dah dua-dua berangin nanti, satu pun tak jadi apa.” pesan Haji Ramlee tegas akan keputusan yang dibuat oleh Afeef. Dia tidak menghalang keputusan anak lelakinya itu kerana tahu yang Afeef takkan mengubah sebarang keputusan yang telah dibuat. Sikap yang satu itu memang tidak pernah berubah dari dulu lagi.

“Afeef, malam ni mama bawak Aqil tidur dengan mama ajalah ya. Afeef tidur sana kan nanti?” kata Hajah Zubaidah pula. Sebenarnya dia dah jatuh sayang dengan si kecil itu. Afwan dan Afia serentak memandang mamanya.

“Alaa..mama.. baru ingat nak bawak Aqil tidur dengan Afwan.” rungut Afwan apabila mama dan ayahnya sudah tersengeh-sengeh. Afeef hanya tergelak memandang Afwan dan Afia yang sudah memuncung.

“Alaa.. Pia pun..” tambah Afia pula yang turut kecewa.

“Alah.. kau orang bukan tahu jaga baby. Biar malam ni ayah dengan mama yang jaga.” gurau Haji Ramlee pula sengaja mengusik kedua wanita itu. Hajah Zubaidah hanya tersenyum mendengar kata-kata suaminya. Afia hanya mencebikkan bibirnya bila mendengar usikan dari ayahnya. Memang pun dia tak tahu menjaga budak-budak. Dia geram melihat pipi montok Aqil yang sedang lena itu.

“Pia, malam ni Pia teman abang pergi sana nak tak?” pinta Afeef apabila melihat wajah Afia yang sudah masam mencuka itu.

“Hah! Kenapa pula Pia kena teman. Tadi bukan ke abang kata abang larat lagi nak drive?” sindir adiknya. Sengaja ingin mengusik abangnya itu.

“Alaa.. boleh la.. manalah tahu kalau abang tertidur ke masa drive nanti. Dah Aqil jadi anak yatim pulak..esok kan hari Sabtu. Tak kerja kan..” kata Afeef lemah sengaja ingin menagih kesian dari adiknya itu. Dia tahu kelemahan Afia yang satu itu. Dia tak boleh kalau ada orang buat suara dan muka kesian depannya. Pasti akan diturutkan juga. ’Hehe..gelak Afeef dalam hatinya apabila Afia bersetuju menemaninya ke Teluk Batik.

…………………………

Di dalam kereta, Afeef hanya mendiamkan diri. Dia duduk di sebelah Afia yang tenang memandu. Tadi bukan dia tidak mahu memandu, tetapi Afia yang berkeras ingin memandu. Katanya risau kalau Afeef yang memandu, pasti seperti nyawa dihujung tanduk. Bukan dia tak tahu yang abangnya itu memang ’terlebih’ berhemah kalau memandu. Sebelum bertolak tadi, Afeef telah menghubungi Luqman sahabat lamanya yang turut menyertai reunion itu. Telah dikhabarkan kepada Luqman yang dia akan datang ke situ. Cuma tidak diberitahu akan datang pada malam itu juga.

Setelah satu jam perjalanan, Afeef di sisi bersuara. “Pia, pinjam phone jap. Abang nak call Kak Hamani lah.” Afia tanpa banyak soal menyerahkan telefon bimbitnya kepada Afeef kerana dia tahu abangnya itu memang tidak sabar-sabar lagi ingin berjumpa dengan kakak iparnya.

Beberapa ketika menunggu panggilan berjawab, Afeef memandang wajah Afia yang tenang memandu. “Pia, kenapa kakak kesayangan Pia ni letak telefon dengar suara abang?” tanya Afeef pelik apabila mendengar suara halus Iffat menjawab salamnya kemudian tiba-tiba terputus.

“hahaha..mana dia tak letak. Mestilah dia cam tu bukan suara Pia.” balas Afia dalam gelaknya.

Afeef hanya menjeling geram melihat Afia menggelakkannya. Dia tahu yang Iffat pasti terkejut mendengar suaranya. Hatinya berdetak kuat apabila mendengar suara lembut itu menjawab salamnya tadi. Tanpa membuang masa, dia mencuba pula dengan menghantar SMS kepada Iffat. Malangnya, langsung tidak berbalas. Hatinya terlebih pasti yang Iffat memang memarahinya. ’Maafkan aku Fat’ bisiknya kepada diri sendiri.

Afeef memperlahankan bunyi radio yang hanya berkumandang di sepanjang perjalanannya. Afia menoleh sekilas Afeef di sisi. “Laa.. kenapa abang slow kan radio tu?” tanya Afia melihat tingkalaku abangnya itu.

“Ni, abang nak tanya sikit dengan Pia ni pasal Kak Iffat tu” balas Afeef ringkas.

“Apa dia?” jawab Afia pendek beri peluang abangnya meneruskan kata.

“Kenapa Kak Iffat tak guna kereta abang ni?” tanya Afeef perihal kereta Toyota Vios yang dinaikinya itu. Memang kereta itu kepunyaannya tetapi telah menyuruh Iffat menggunakannya sepanjang dia di sana. Sengaja tadi dia berkeras juga ingin menaiki kereta kesayangannya itu walaupun dibantah oleh Afia yang ingin menaiki kereta myVnya sahaja. Dia terpandangkan keretanya ini terletak elok di bawah garaj di hadapan rumahnya. Jika dilihat, memang tiada siapa yang menggunakan keretanya itu.

“Entah. Pia pun tak tahu. Dulu lepas hantar abang kat airport, Kak Hamani terus pulangkan kereta ni. Dia kata dia tak selesa nak guna barang yang bukan miliknya.” terang Afia.

Afeef sedikit terasa dengan penerangan Afia akan perihal kereta itu. “Pia, ceritalah ka abang apa yang dah berlaku sepanjang abang takda kat sini.” pinta Afeef seterusnya kerana di hatinya begitu membuak perasaan ingin tahu akan perihal Iffat wanita yang telah dilukainya. Sungguh getaran halus sentiasa hadir di hatinya apabila tiap kali bibir itu menyebut nama wanita itu. Tetapi langsung tidak diambil peduli. Apa yang dia tahu, Iffat adalah sahabat yang paling baik dia ada. Sanggup berkorban demi masa depannya.

Afeef hanya menjadi pendengar setia di sepanjang perjalanan. Sesekali hati lelakinya merintih pedih apabila mendengar semua perihal Iffat yang setia menunggu kepulangannya dan keperihatinan wanita itu menziarahi kedua orang tuanya saban minggu. ’Arghh… kau memang lelaki tak guna Afeef!’ jerit hatinya mengutuk akan kebodohan diri.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top