Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini ditanya mengenai khidmat pegawai keselamatan dan pengiring kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah ditarik balik oleh kerajaan.

Mahathir pada mulanya mengatakan beliau tidak tahu bahawa khidmat mereka telah ditarik balik, namun kemudian mengatakan bekas perdana menteri itu kini sedang disiasat pihak berkuasa.

“Jadi dia tidak mewakili perdana menteri yang lalu.

“Tetapi jika dia didapati tidak bersalah, maka dia akan mendapat layanan yang sama seperti (bekas) perdana menteri yang lain,” kata Mahathir kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan anggota polis di Bukit Aman hari ini.

Dalam kenyataan di halaman Facebook pada malam ini, Najib berkata khidmat pegawai dan pengiring keselamatannya telah ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru.

Mereka terdiri daripada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas dan pegawai lain yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan terhadapnya di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

Najib turut berkongsikan gambar beliau memberikan tabik hormat kepada mereka dan perpisahan penuh emosi itu di laman Facebooknya.

Semasa dalam pembangkang, Mahathir juga mengadu kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah menarik balik khidmat pengawal peribadinya.

Sumber : Malaysia KINI

Ini Harapan Najib Razak Selepas Semua Ditarik Balik Kecuali Seorang Sahaja Tinggal

SEMUA pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai bantuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditarik balik oleh kerajaan, hari ini.

Najib melalui status Facebook rasminya memaklumkan semua anggota terbabit yang bertugas dengannya di Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya, ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC.

“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

Semua ditarik kecuali seorang masih berkhidmat. 

“Sejak beberapa minggu ini, semua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.

Jasa tidak akan dilupakan

“Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini, termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun ketika saya masih Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Najib turut mengucapkan selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersamanya.

Mohon mereka dijaga elok

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.

Sumber : Hmetro Online