Penyumbang Tabung harapan layak dapat Potongan Cukai-Guang Eng

income tax.

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia atau pengusaha syarikat yang menghulurkan derma kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) akan diberikan pengecualian cukai tanpa had oleh pihak kerajaan.

Menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata, potongan cukai itu akan diberikan secara ‘dollar for dollar’ atau nilai yang setara dengan jumlah yang disumbangkan kepada tabung tersebut.

“Mereka yang memberikan sumbangan boleh dapat faedah pemotongan cukai, kena simpan resit mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pihak syarikat pun akan dapat pengurangan cukai. Kalau derma banyak contohnya RM13,000 akan dapat pengecualian sebanyak RM13,000. Kita beri potongan ikut ‘dollar for dollar,” kata beliau pada sidang media yang diadakan pada Khamis.

Kesemua wang sumbangan itu akan dikendalikan oleh Perbendaharaan Malaysia dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain bagi mengurangkan hutang kerajaan Persekutuan.

Setakat pukul tiga petang Khamis, Guan Eng mengumumkan kutipan derma sudah mencecah sebanyak RM7,075,508.79 dalam tempoh kurang 24 jam tabung ini dilancar oleh kerajaan.

Menurut Guan Eng, biarpun jumlah sumbangan terkumpul itu masih jauh dari nilai sebenar hutang kerajaan Pusat yang dianggarkan berjumlah RM1 trilion, namun pihak kerajaan tidak melihat kepada jumlah sumbangan tetapi semangat cintakan negara yang ditunjukkan rakyat Malaysia.

Beliau turut memberi perumpamaan yang Malaysia memerlukan 2,740 tahun bagi melangsaikan semua hutang tersebut sekiranya ia dibayar secara ansuran sebanyak RM1 juta sehari.

Guan Eng turut menepis pandangan negatif sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan menubuhkan tabung tersebut.

“Itu adalah pandangan pihak tertentu (persepsi negatif), kita ambil kira tapi saya rasa kalau rakyat nak tunjukkan mereka sayangkan negara, itulah satu saluran amat bermakna supaya semua dapat bersama-sama beri sumbangan.

“Pada masa sama, ada banyak negara yang buat kutipan demikian seperti Korea Selatan, tapi ini (kutipan derma) tidak menjejaskan pembangunan mereka. Tiada kesan negatif seperti mana yang dibimbangkan,” jelasnya.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top