Luahan isi hati Najib

najib, najib sedih,

PEKAN – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, buat pertama kali ‘meluahkan rasa hati’ di khalayak ramai berhubung kekalahan BN pada PRU14 dan siasatan pihak berkuasa terhadap dirinya.

Najib mengakui terkilan, ralat dan terasa hati apabila kekalahan BN pada pilihan raya umum lepas bukan disebabkan pihak lawan mempunyai agenda atau dasar lebih baik, sebaliknya mendakwa ia disebabkan kempen memburukkan beliau atas kapasitinya sebagai pemimpin.

Beliau mendakwa, penyelewengan fakta seperti dakwaan ekonomi Malaysia dalam keadaan teruk dan negara hampir bankrap ditambah dengan pelbagai janji manis pihak lawan juga antara penyebab kekalahan BN. 

Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan serentak Umno cawangan dan mesyuarat pergerakan sayap Umno Bahagian Pekan di Bangunan Umno Pekan di sini, hari ini.

Najib seterusnya berkata, keluarga beliau juga dijadikan sasaran terutama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang difitnah kononnya mencampuri urusan dan menentukan keputusan dibuatnya.

Sedangkan, menurut Najib, tidak pernah sekali pun beliau mengatakan ‘tunggu dulu, saya perlu tanya isteri’ kerana semua keputusan melibatkan pentadbiran negara atau parti diputuskan pada mesyuarat Kabinet atau pun Majlis Tertinggi parti.

Walaupun sedih dengan kekalahan itu, Najib berkata, sebagai seorang mengamalkan prinsip demokrasi beliau menerima keputusan yang dibuat rakyat dan menyerahkan kuasa dengan baik.

Katanya, luahan hatinya itu dibuat di Pekan kerana penduduk di sini mengenali dirinya yang sudah 42 tahun berkhidmat di daerah ini, tempat bermulanya karier beliau dalam arena politik.

Dalam pada itu, Najib berkata, selama lebih 60 tahun memerintah negara, Umno dan BN berjaya mengangkat Malaysia daripada sebuah negara serba daif dan kekurangan dari segi ekonomi dan material menjadi sebuah negara yang berjaya.

Hal itu, kata beliau, tidak dapat dinafikan kerana Malaysia kini mencapai kejayaan membanggakan sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Di mana-mana sahaja keadaan dahulu, termasuk kita di Pekan berada dalam keadaan serba daif dan kekurangan, sekarang bertukar wajah, sekarang jadi negara yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan rakyat di negara ini juga banyak berubah apabila anak-anak mendapat peluang pendidikan yang sama rata sehingga ramai yang melanjutkan pengajian di luar negara dan mampu menjadi doktor, jurutera serta ilmuan dalam bidang agama.

Ini merupakan majlis pertama yang dihadiri Ahli Parlimen Pekan itu selepas BN kalah pada PRU14 pada 9 Mei, membolehkan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara. – Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top