Dulu disayangi, sekarang di Benci! (Husna aka Niena Baharun)

husna,

Jika dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz, Niena Baharun menjadi kesayangan ramai. Namun, berbeza dengan reaksi terhadap watak Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3.

Pertaruhan pertama Niena, 25, atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun melakonkan watak gedik dan jahat membuatkan dia dibenci hingga dilemparkan dengan kata-kata kesat dan perampas.

Malah, watak Husna itu berjaya melonjakkan kembali nama dan populariti Niena. Di laman sosial, nama Husna ‘trending’ selain menjadi topik perbualan seharian.

Pendek kata, lakonan Niena menjadi.

Menurut Niena, dia tidak pernah menjangkakan sambutan dan perhatian diberikan untuk watak itu menjadi sebesar sekarang. Lebih mengujakan Niena apabila ia turut diikuti pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi.

“Dulu orang sayang, sekarang orang benci. Mungkin ini watak jahat yang betul-betul meninggalkan rasa kepada penonton. Apatah lagi isu orang ketiga dalam rumah tangga sangat sensitif dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, disebabkan itu kebanyakan penonton wanita lebih beremosi dengan Husna.

“Pada mulanya saya agak bimbang dengan penerimaan orang terhadap watak ini kerana bertudung. Banyak kali saya minta penerbit menerangkan watak sebenar Husna. Lagipun, ketika itu skrip belum siap sepenuhnya.

“Ketika penggambaran bermula, pada masa sama skrip juga disiapkan. Saya pula tidak membaca novel asal, tetapi sebagai pelakon saya sudah melakukan yang terbaik berdasarkan permintaan pengarah,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan suami, Aliff Firdaus Abdul Hadim terhadap wataknya, Niena berkata, suami tidak mengetahui perkara itu.

“Ketika mendapat tawaran drama ini, dia tidak tahu dan saya tidak pernah bercerita mengenai watak ini. Saya buat biasa saja.

“Namun, apabila drama mula ditayangkan dan Husna tular, dia sangat terkejut. Apatah lagi, gambar kami turut ditularkan dan direka dengan pelbagai ayat,” katanya.

Cuba mengaitkan kehidupan sebenar dengan drama itu, Niena mengakui tidak boleh hidup seperti Fika lakonan Zahirah Macwilson.

Malah, suaminya juga memahami situasi watak Shah lakonan Saharul Ridzwan tanpa perlu diingatkan Niena bagi kelangsungkan kehidupan rumah tangga mereka.

“Kalau berada di tempat Fika, saya tidak akan setabah dia. Mungkin ada yang macam Fika, tetapi tidak ramai. Saya pun tak faham kenapa dia terlalu sabar.

“Sejujurnya, saya tidak boleh. Saya juga tidak perlu bercakap mengenai perkara ini kepada suami kerana dia faham sendiri bagaimana nak menjaga hati isteri,” katanya.

Hamil enam bulan

Berkongsi mengenai dirinya, Niena kini hamil enam bulan dan dijangka bersalin November ini.

“Alhamdulillah, kandungan dalam keadaan sihat. Saya juga bersyukur sepanjang kehamilan tidak ada sebarang alahan teruk. Malah, ketika menjalani penggambaran drama ini saya hamil tiga bulan.

“Pada awalnya risau juga, tetapi Allah permudahkan. Pada masa sama, pengarah pula efisien dan waktu penggambaran hanya pada sebelah pagi dan petang. Tidak ada penggambaran pada waktu malam. Jadi tidaklah terlalu penat.

“Walaupun melakonkan watak yang agak berat dalam keadaan hamil, saya dapat kawal emosi. Saya pulang rumah dan menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya.

Niena juga berkongsi, drama itu adalah lakonan terakhirnya sebelum mengambil keputusan berehat panjang hingga bersalin dan berpantang.

“Sekarang saya duduk di rumah saja. Sebelum ini ada tawaran lain dan penggambaran dijalankan di Kelantan, tetapi saya terpaksa menolak secara baik. Bukan apa, penggambaran kita tidak boleh jangka. Kalau boleh sekarang saya nak fokus kepada kandungan.

“Suami juga menasihati supaya banyakkan berehat. Dia tidak mahu saya penat hingga memudaratkan diri dan anak dalam kandungan. Cuma kalau ada jemputan menghadiri acara saya masih boleh pertimbangkan,” katanya.

Niena juga belum bersedia mendedahkan jantina anak, namun mengharapkan doa daripada semua semoga dipermudahkan ketika bersalin nanti.

“Persiapan menyambut kelahiran anak biasa saja. Saya dan suami tidak mahu terlalu berlebihan. Lagipun, jantina anak baru saja tahu tiga minggu lalu.

“Paling penting, anak yang bakal lahir sihat dan sempurna. Saya dan suami juga masih mencari nama sesuai. Doakan semoga segalanya berjalan lancar,” katanya.

Niena dan Aliff berkahwin pada 1 Februari lalu di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top