Baju Melayu dikecam seperti pakaian menyusukan anak, ini penjelasan Erry Putra

erry putra
PELAKON Erry Putra mengakui tindakan netizen yang mengecam koleksi rekaan baju Melayu pakaiannya tidak langsung menjejaskan perniagaannya, tetapi meningkatkan hasil jualan secara mendadak.

Menurut Erry, dia ingin berterima kasih kepada netizen kerana menularkan rekaan pakaiannya dan memberi publisiti percuma kepada pakaian yang dikeluarkan itu.

“Sejak petang semalam, beberapa keping foto memperlihatkan saya dan adik tiri saya menggayakan baju berkenaan mula tular di pelbagai laman sosial.

“Berdasarkan komen netizen, ramai berpendapat, rekaan baju Melayu itu menyerupai pakaian yang direka khas untuk kemudahan ibu menyusukan bayi mereka.

“Bagaimanapun, jika dilihat secara dekat, koleksi itu menggabungkan tiga baju tradisi mewakili tiga kaum utama di Malaysia iaitu baju Melayu, kurta dan samfu.

“Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan UA Butik dalam menghasilkan baju Melayu dan rekaannya adalah hasil perbincangan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Tambah Erry, baju berkenaan dikeluarkan dalam 20 warna pilihan dengan tiga rekaan berbeza dan boleh dibeli secara terus di butik yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam atau pembelian dalam talian menerusi laman Instagram @ua_butik. – Sumber: Utusan Online

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top